Showing posts with label Tips Masakan. Show all posts
Showing posts with label Tips Masakan. Show all posts

Tuesday, 19 July 2016

Resepi Topping Kek Coklat Moist Yang Mudah

Sebut je pasal kek coklat mulut ni dah berair nak makan benda ni. Kalau nak harap buat sendiri, memang tak lah sebab malas. Hehe. Tapi masa Raya Aidilfitri baru-baru ni, Eyla tak tempah pun kek coklat buat sendiri je, rajin lah pulak TIME tu. Alhamdulillah, setelah lama tangan ni tak buat kek coklat tak sangka, menjadi dan sedap! Bukan nak puji diri sendiri okey, tapi mak saudara siap nak tempah lagi! Kiki. Bab-bab nak tempah ni lah yang malas nak buat. Tapi demi mak saudara Eyla akan buat juga untuk dia. Kesian pulak kat dia, dah banyak kali whassap tanya bila nak buat. Okey, this week i'm promise  akan buat untuk mak saudara yang cantik. Harap-harap menjadi la kali ni kek coklat moist Eyla.

ARTIKEL BERKAITAN : Resepi Kek Coklat Kukus

Hari ni Eyla try google nak tengok resepi nak buat topping kek coklat moist pulak, senang je nak buat benda ni, Resepi nak buat topping ni ada macam-macam jenis so, terpulanglah kat korang nak ambil resepi yang mana. Eyla suka resepi toping yang nombor 1 tu.

Cara Buat Topping Yang Betul dan Sedap Untuk kek Coklat Moist
Teknik Topping 1
1/2 cwn susu pekat
2 sdb serbuk koko
2 sdb mentega
Masukkan susu dan serbuk koko dalam periuk(api kecil) dan kacau hingga pekat
masukkan mentega -tutup api
Bila dah sejuk bolehlah tuang atas kek yang juga sudah sejuk.

Teknik Topping 2
1/2 cwn susu pekat
1/2 cwn serbuk koko
1/4 cwn susu cair
2 sdb butter/majerin/minyak masak
Masukkan dalam periuk
Masakkan atas api kecil hingga berkilat dan pekat

Teknik Topping 3
1/2 bar coklat masakan
2 sdb susu pekat
1 sudu mentega/majerin
1/3 cwn susu segar
Masakkan atas api guna kaedah DOUBLE BOILED
Kalau nak pekat jangan letak susu segar
Bila dah sejuk bolehlah tuang atas kek yang juga sudah sejuk.


Teknik Topping 4

1 bar coklat masakan
4 sudu susu pekat
5 sudu air panas
1 sudu majerin/butter
Masakkan atas api guna kaedah DOUBLE BOILED
Sudah cair semua baru masukkan majerin/butter
Sudah sejuk baru siramkan pada kek yg dah sejuk


Teknik Topping 5

1/2 cwn serbuk koko
1 cwn susu pekat
2 sdb majerin/butter
kacau atas api serbuk koko & susu pekat
Masukkan majerin/butter
kacau hingga likat dan pekat
Siramkan atas kek bila dah sejuk

Teknik Topping6
1/2 cwn susu pekat
1/2 cwn serbuk koko
2 sdb butter
Masakkan semua atas api kecil
klu terpekat boleh tambah sedikit susu cair atau susu segar
kacau hingga likat dan berkilat
Siramkan atas kek bila dah sejuk


Teknik Topping 7

1/2 cwn serbuk koko
1 cwn susu pekat manis
2 sdb mnyak masak
Masakkan semua atas api yang perlahan
kacau hingga likat berkilat
masukkan 1 sdt esin vanila
Biarkan sejuk dulu,baru siram atas kek


Teknik Topping 8

200 gm coklat masakan
1/4 cwn susu cair
Masakkan atas api guna kaedah DOUBLE BOILED
kacau hingga pekat dan berkilat.

Resepi Topping Kek Coklat Moist Yang Mudah

Tuesday, 12 July 2016

Resepi Nasi Ayam Sedap

Bulan puasa baru-baru ni, kak ipar tersayang kita ada jual nasi ayam kat bazaar ramadhan. Mak aii, laku giler kot nasi ayam dia. Eyla sempat jugak la try nasi ayam dia buat, memang sedap sangat-sangat! Alang-alang dia buat nasi ayam hari tu, Eyla ada tanya dia apa resepi nasi ayam yang sedap dia buat, rupanya resepi yang di buat lain sikit dari orang lain buat. Tapi rahsialah kan tak boleh bagitahu. hehehe.. Tapi ada satu blog ni Eyla tertarik dengan resepi dia yang sangat mudah dan ringkas. Jadi, yang ada plan nak buat nasi ayam sedap ni, apa kata korang cuba resepi nasi ayam iresipi.com nampak macam sedap je.. Hehe

Bahan-Bahan:

Bahan untuk ayam (direbus) :
  • 1 ekor ayam dipotong 8
  • 2 ulas bawang putih, ditumbuk halus
  • 2 cm halia, ditumbuk halus
  • 1 kiub ayam

Bahan untuk ayam (diperap) :
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 cm halia, ditumbuk halus
  • 2 ulas bawang putih, ditumbuk halus
  • 1 sudu besar kicap cair
  • Sedikit madu untuk sapuan

Bahan untuk nasi:
  • 3 cawan beras
  • 4 cawan air rebusan ayam
  • 2 sudu besar butter
  • 1 cm halia ditumbuk halus
  • 3 ulas bawang putih ditumbuk halus
  • Sedikit garam
  • 2 bunga lawang*
  • 4 buah pelaga*
  • 1 kayu manis*
  • 1 batang serai ketuk
  • 2 helai daun pandan
  • Sedikit kunyit untuk warna dan aroma

Bahan untuk sos:
  • 5 biji cili merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 cm halia
  • 1 sudu besar cuka
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh gula
  • 1/2 cawan air rebusan ayam

Bahan untuk sup:
  • Air rebusan ayam
  • 1 biji bawang besar, dikisar
  • Rempah sup bunjut
  • Garam
  • Daun sup dan daun bawang yg dihiris

Bahan untuk kuah kicap:
  • Kuah kicap perapan ayam di atas
  • Kicap manis cap kipas udang
  • Sedikit garam
  • Air rebusan ayam

Cara Penyediaan:

Cara untuk ayam:
  • Bersihkan ayam, toskan air dan lumurkan dgn 2 ulas bawang putih dan halia yg diketuk.
  • Rebus ayam bersama 1 kiub ayam sehingga empuk.
  • Angkat ayam dan perap dengan bahan perap selama 1/2 jam (rujuk bahan perap untuk ayam)
  • Kemudian goreng dalam kepanasan api sederhana seketika, angkat dan sapukan dengan madu.

Cara untuk memasak nasi:
  • Basuh beras dan tos air.
  • Panaskan butter lalu tumiskan rempah tumis(*), daun pandan, serai, halia serta bawang putih hingga garing. Masukkan beras dan masak seketika sehingga naik aroma dan bau. Masukkan air rebusan ayam, garam dan kunyit secukupnya. Masak nasi seperti biasa.

Cara untuk memasak sup:
  • Rebus air rebusan ayam bersama rempah sup bunjut, bawang besar, dan masukkan garam secukup rasa. Taburkan dengan bawang goreng dan hirisan daun sup.

Cara untuk memasak sos:
  • Kisarkan semua bahan di atas.
  • Boleh juga dimasak sebentar untuk menaikkan aroma.

Cara untuk memasak kuah kicap:
  • Campurkan semua bahan untuk kicap dan masak seketika. Sejukkan sebelum dihidang.

Tips:
Pastikan ayam tidak direbus terlalu lama kerana nanti apabila di rebus terlalu lama isi ayam akan mudah hancur ketika menggoreng.

Resepi Nasi Ayam Sedap
Nasi Ayam

Monday, 11 July 2016

Resepi Roti Jala Lembut

Ada peminat roti jala tak kat sini? hehehe...Eyla ni memang minat sangat makan roti jala, nak-nak dapat makan roti jala yang lembut beserta kuah kuzi / kari yang enak memang licin satu pinggan Eyla makan. Hahaha. Tapi yang jual kat luar tu kebanyakkannya tak sedap sebab bila makan rasa tak lembut. 

Raya kedua baru ni Eyla ada buat tempah roti jalan dengan kawan, perrgghh, roti jala dia memang lembut dan sedap sangat bila makan dengan kuah kuzi. Jadi, hari rasa ini teringin lah pulak nak cuba buat sendiri kan orang kata, jadi apa lagi,  Eyla google resepi  melalui En Google dan Eyla tertarik satu resepi di blog azlitamasammanis.com nampak macam best jer roti jala yang dia share kat blog dia. Lepas ni Eyla nak cuba. Harap-harap menjadilah yerr.. Hihihi

Resepi Roti Jala Lembut
Gambar dari Encik Google. Hehehe
Bahan bahan:
3 cawan tepung gandum
2 1/2 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil garam
1 biji telur
3 cawan air/santan/susu segar (saya guna air dicampur sedikit santan)
Sedikit pewarna kuning

Cara-cara:
Blendkan semua bahan di atas hingga sebati. Kalau nak tahu adunan dah boleh dijala atau belum, cuba masukkan sesenduk ke dalam acuan. Kalau keluarnya tak putus-putus maknanya dah boleh di jala menggunakan kuali non stick. Kuali biasa pun boleh asal tak melekat. Kalau pekat tambah air lagi sehingga boleh dijala.

Lepas jala atas kuali biarkan dalam beberapa saat. Kalau dah masak tak payah dibalik terus aje di angkat dan digulung.

Bila dah siap bolehlah dimakan dengan kuah ayam masak kuzi. Sesuai untuk open house sebab walaupun sampai ke petang roti jala tu tetap lembut seperti baru dimasak. Cubalah.

Monday, 20 June 2016

Senarai Juadah Popular Di Hari Raya Aidilfitri

Suasana hari raya dah makin terasa ni, tinggal 2 minggu je lagi kita semua akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dah tak sabar rasanya nak sambut ni. Hehe. Dalam kepala Eyla ni dah berkira-kira juadah apa yang nak dihidangkan kepada tetamu yang akan datang nanti. So kat bawah ni Eyla ada cari lah sikit-sikit pasal juadah yang popular untuk dihidangkan kepada tetamu di Hari Raya nanti. 

Lemang 

Lemang merupakan sejenis masakan tradisi yang disukai ramai. Lemang dijual sepanjang tahun, tetapi lebih meluas pada hari perayaan seperti hari-hari raya. Di Malaysia, lemang telahpun direkodkan sebagai hidangan istimewa sejak 1864 lagi. Lemang juga merupakan makanan orang asli Negrito yang ada di Kelantan. 

Lemang sering dihidangkan bersama rendang atau serunding. Orang Minangkabau juga menggemari lemang, sehinggakan kota seperti Tebing Tinggi dikenal dengan julukan "Kota Lemang".

Lemang diperbuat daripada beras pulut dan santan yang dimasukkan ke dalam ruas buluh yang dilapik dengan daun pisang, sebelum dibakar sehingga masak. Kaedah memasak menggunakan buluh merupakan kaedah kaum asli memasak di Malaysia. . Lemang juga merupakan makanan kegemaran kaum asli Malaysia seperti kaum Negrito, dan suku semai.

lemang


Rendang 

Rendang adalah masakan tradisional Minangkabau juga Melayu bersantan dengan Daging lembu sebagai bahan utamanya. Masakan ini disediakan dengan santan, lada, bawang, daun kunyit, daun limau purut dan kerisik. Rendang sesuai dihidangkan sebagai lauk, dimana ia dimakan dengan lemang, nasi, pulut kuning atau pulut kunyit. Kebanyakkan bahagian daging lembu yang digunakan untuk membuat rendang ialah daging batang pinang. Rasa dagingnya yang lembut dan sedap. Rendang amat popular dan disajikan sebagai hidangan pada hari-hari perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha. 

rendang

Ketupat Palas

Ketupat palas atau ketupat pulut ialah ketupat yang menggunakan daun pokok palas sebagai pembungkusnya. Berbeza dengan ketupat daun atau ketupat nasi ialah dari segi bentuk, saiz, penggunaan daun untuk membalut dan beras. Ketupat daun atau ketupat nasi, dianyam berbentuk empat segi ataupun berbentuk bawang yang menggunakan daun kelapa. Bentuk ketupat palas pula berbentuk tiga segi. Penggunaan beras sebagai isi atau inti ketupat juga berbeza. Beras yang digunakan untuk ketupat palas ini ialah beras pulut, manakala isi ketupat daun menggunakan beras nasi, iaitu beras yang digunakan sebagai makanan harian. Ia enak dimakan dengan rendang ayam mahupun rendang daging.

ketupat palas

Sate

Sate ialah sejenis makanan yang dicucuk dengan lidi. Secara khususnya, sate dibuat daripada kepingan daging yang dicucuk pada lidi kelapa / buluh dan dibakar menggunakan api arang kayu.Kebanyakan orang Melayu tidak makan daging semata-mata. Oleh itu biasanya turut disertakan nasi dalam bentuk ketupat. Sate mudah dimakan di tepi-tepi jalan kerana dicucuk dengan lidi kelapa. Kuah sate disediakan daripada kacang yang ditumbuk lumat dan digaul serta dimasak dengan pelbagai herba. Bau yang wangi amat penting. Boleh juga didapati, sate dihidang dengan bawang merah dan timun, selain ketupat nasi atau nasi himpit.

sate

Monday, 4 April 2016

Resepi Kerabu Kaki Ayam Mudah

Berair rasa mulut bile tengok kerabu kaki ayam ni. Selama ni tak pernah pun cuba kerabu kaki ayam ni. Nak diceritakan baru-baru ni kak ipar kita terlebih rajin buatkan kerabu kaki ayam, alang-alang dia suh kita try, kita try lah kan. mak oiii, sedap rupanya kerabu kaki ayam ni. Menyesal dulu tak makan awal-awal xtawlah pulak rasanya sedap kan. Hihi.. Sekarang ni, Eyla cuba nak buat sendiri pulak resepi kerabu kaki ayam ni, harap-harap menjadilah kan sebab ni first time buat. Apa-apa hal nanti bile ada waktu lapang Eyla akan buat dan share kan kat blog. Sekarang ni tengah gigih nak cari resepi dulu,nak resepi yg mudah-mudah je tapi rasanya sedap. Eyla ada terjumpa resepi kat facebook ni, tapi tak tawlah sedap ke tak sebab xpernah buat kan. Tengok pada resepi kerabu kaki ayam dia macam best je. Jom kita pakat try buat! 


Resepi Kerabu Kaki Ayam Mudah
Tu dia, nampak sedap sangat. Terliur lah pulak. Hihi
Bahan-Bahan :
- 500 gm kaki ayam tanpa tulang direbus sampai empuk dan dipotong kecil
- 1/2 kiub ayam hancurkan
- 5-10 biji cili padi dihiris nipis
- Sedikit daun ketumbar/daun sup diracik halus
- 3-5 biji bawang merah dihiris
- 1-2 bji perahan limau nipis (ikut nk masam lg, boleh lebihkan)
- 1 sudu besar kicap sotong/kicap cair/sos ikan
- 1 sudu besar sos cili thai
- Sedikit serbuk perasa, garam dan gula. (Boleh abaikan jika kiub ayam dah cukup bagi rasa sedap)
- Mee suun jika suka
- 1 sudu besar air masak

Arahan: Campur semua dan gaul sebati.

Tuesday, 19 January 2016

Resepi Rainbow Kek Yang Sedap!

Hati ni dah lama teringin nak buat rainbow kek ni tapi mood nak buat tak kesampaian orang kata. Al maklumlah diri kita ni busy je semacam kan. Hajat dihati nak buat rainbow kek weekend ni, harap-harap tak busy lah minggu ni dan yang penting mood nak buat pun mintak-mintak jangan malaslah. Hehe. Eyla pun try lah cari resepi ni kat En Google, banyak sangat resepi yang ada tapi resepi ni nampak macam mudah je tu Eyla ambil. Terima kasih ye kat blog saudara ape entah nama lupa pulak nak ambik address blog tadi. 

Bahan-bahan:

150g tepung superfine / hongkong
150g gula kastor
6 biji telur
80ml butter / marjerin yang dicairkan / minyak sayuran
80ml susu segar
1sk esen vanila
1sk baking powder
1sb ovelete

6 pewarna yang berbeza
(Ungu,biru,hijau,kuning,oren,merah) 

Cara-cara:

1. Satukan tepung, gula, telur, ovelete, esen vanila dan baking powder dan pukul sebati sehingga gebu dengan kelajuan mixer yang tinggi.Dalam masa 6-7minit.

2.Tambahkan susu perlahan, dan pukul sebati sampai gebu selama 1 minit.

3.Griskan loyang pembakar.Saya guna loyang 7x3inci.Panaskan oven 160'.

4. Tambahkan butter yg dicairkan dan disejukkan perlahan lahan dan kacau sebati menggunakan spatula.

5. Bahagikan adunan sama banyak kepada 6 bahagian  menggunakan senduk.

6.Titiskan 2-3 titik pewarna ke dalam setiap bahagian.

7. Bakar setiap 1 bahagian selama 10 minit secara berasingan.Maknanya bakar 1 adunan persatu, bukan lapiskan.

8.Biarkan sejuk sebelum dilapiskan dan dihias dengan cream chese froastig

Resepi Creame Chese Froasting

250g cream chese
100ml thicked/whipped cream
50g gula kastor

Cara-cara :

1.Satukan cream chease dan thicked cream pukul sampai lembut, gebu.

2.Tambahkan gula kastor dan pukul sampai gebu.

Bila kek betul-betul sejuk, bolehlah lapiskan kek bersama cream chese froasting tadi.

resepi kek rainbow
Gambar sekadar hiasan. Hehe

Monday, 24 August 2015

Resepi Satay Ayam Yang Enak

Bahan

1.5 kg- 1.6kg Daging Ayam beserta kulit ( dipotong dadu )
1 ½ suudu besar Biji Ketumbar ( disangai dan dikisar )
1 ½ sudu besar Jintan Manis ( disangai dan dikisar )
Segenggam Serai ( dipotong halus dan dikisar )
1 sudu besar Serbuk Kunyit
10 biji Bawang Merah ( dikisar )
500gm Gula
½ cawan Minyak Masak
Lidi Satay secukupnya ( perlu direndam dalam air sebelum dicucuk pada daging ayam )

p/s- Resepi diatas boleh digandakan sekiranya ingin membuat dalam kuantiti yang banyak

Cara Membuat :

1.Daging ayam beserta kulit ayam yang telah dipotong dadu diletak dalam penapis biar seketika.

2.Kisar sekali bahan seperti biji ketumbar , jintan manis , serai dan bawang merah sehingga halus.

3.Marinate ayam yang telah dipotong dadu dengan bahan yang telah dikisar, masukkan gula , serbuk kunyit dan akhir sekali minyak masak, pastikkan daging ayam dimarinate sekata.Biar 30 minit dalam peti sejuk.

4.Cucuk daging ayam yang telah dimarinate ke lidi satay, anggaran 4-5 potongan dadu ayam bercampur kulit ayam dalam sebatang lidi satay.Cucuk sehingga selesai.Siap untuk dibakar…sebaiknya dengan kayu arang@charcoal..terbaik.

5.Sediakan minyak dan serai untuk disapu ke atas satay apabila dibakar, supaya aroma satay akan lebih wangi dan menyelerakan.

6.Jika korang nak bakar satay lambat lagi, boleh lah korang packingkan satay dalam plastic 10 batang 1 plastik.dan simpan dalam freezer, bila hendakgunakan baru lah defrost.Selamat Mencuba!

Satay ayam sedap dimakan dengan kuah kacang marbeles dan sambal garing, beserta potongan bawang merah , timun dan nasi impit.

Tips – Jangan sesekali korang letak garam walau secubit dalam resepi membuat satay.Pantang adalah garam, bile korang letak garam dah tak jadi satay, jadi ayam panggang atau daging panggang, satay perlu manis dan aroma rempah ratus sahaja.

Thursday, 13 August 2015

Resepi Karipap Kentang Yang Sedap

Buat karipap ni rupanya tak adalah susah sangat sebenarnya. Paling penting kena ada minat dan rajin mesti jadi punya! Best kan kalau buat sendiri karipap sambil minum teh di waktu petang. Hehe.. 

Bahan-Bahan Inti Karipap Kentang 

  • 5-7 biji kentang sederhana besar ( dipotong dadu )
  • 1 biji bawang besar ( potong dadu )
  • 3 ulas bawang merah ( dikisar )
  • 2 ulas bawang putih  ( dikisar )
  • segengam ikan bilis atau udang kering ( dikisar ) Boleh ganti daging kisar atau ayam
  • 3 sudu besar cili kering kisar ( kurangkan kalau tak suka pedas)
  • 3 sudu besar serbuk kari
  • 2 tangkai daun sup ( kalau suka boleh letak )
  • Minyak masak untuk menumis

resepi karipap

Cara Masak Inti Karipap Kentang
1. Panaskan minyak dalam kuali.Kemudian masukkan separuh bawang besar yang sudah 
    dipotong dadu tadi.Yang separuh lagi, masukkan bila kentang sudah empuk nanti.
2. Bila sudah naik bau, masukkan bahan kisar tadi.Kacau perlahan sehingga naik bau,     
    masukkan pula serbuk kari.Diikuti masukkan gula, garam dan perasakan.
3. Masukkan pula kentang yang sudah dipotong dadu tadi. Toskan airnya terlebih 
   dahulu.Masukkan dua cawan air supaya kentang cepat empuk.
4. Tutup kuali dengan tudung periuk atau penutup pengukus supaya wap air dapat 
    lembutkan kentang dengan cepat.
5. Biarkan sehingga kentang empuk, airnya juga sudah kering dan masukkan separuh lagi 
    bawang besar yang dipotong dadu tadi bersama daun sup yang dihiris.
6. Angkat inti kentang dan masukkan ke dalam bekas yang sesuai supaya cepat sejuk dan   
    boleh di buat inti karipap.

Bahan-bahan untuk buat kulit karipap

  • 500 gram tepung gandum ( untuk 30-40 biji karipap )
  • dua senduk minyak masak dipanaskan terlebih dahulu ( boleh cairkan planta atau marjerin )
  • satu mug sederhana besar berisi air yang sudah dilarutkan dengan garam 

Orang kata,  menambahkan tepung ubi dan tepung beras sebagai rahsia kenapa karipap akan jadi lebih rangup. Sukatan tepung beras dan tepung ubi mengikut resepi mereka.
50g Tepung Beras (anggaran setengah senduk nasi )
50g Tepung Ubi(anggaran setengah senduk nasi )

Cara buat kulit karipap

  • Masukkan tepung ke dalam bekas untuk menguli.Masukkan dua senduk minyak masak yang sudah dipanaskan ke dalam tepung gandum.Kacau dahulu dengan sudip sementara minyak masih panas.Boleh gunakan tangan untuk menguli jika minyak sudah tidak panas.
  • Uli doh dengan masukkan sedikit demi sedikit air yang sudah dilarutkan dengan garam tadi.Teruskan menguli sehingga tepung sudah tidak melekit ditangan dan biarkan seketika (10-15 minit) sebelum anda mencanainya menjadi kulit karipap.
  • Uli sekali lagi, kemudian bulat-bulatkan doh tadi sebelum dicanai untuk dimasukkan inti.Anda boleh pilih,sama ada nak kelim sendiri atau guna acuan karipap.
  • Untuk mendapat Kulit karipap yang rangup semasa kita menguli,kita kena pastikan tidak terlebih menggunakan air.Minyak masak panas atau marjerin yang kita panaskan juga membantu dalam memastikan kulit karipap menjadi rangup.
  • Sukatan air dalam resepi ini bergantung kepada doh yang kita uli.Pastikan masukkan air sedikit demi sedikit semasa menguli.


Resepi Tart Cadbury Mudah dan Sedap

Alhamdulillah... Berhabuk dah pun blog ni, setelah lama tak update apa-apa. Jadi, malam ni terdetik nak share resepi biskut raya la pu...

TOPS POST